Jumat, 26 September 2014

kali ini gue akan memposting artikel tentang buah tin dan buah zaitun, selamat membaca....


BUAH TIN




Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jawziyyah, buah tiin memiliki banyak khasiat antaranya dapat mengurangkan penyakit sesak nafas. Membersihkan hati dan limpa, juga menghilangkan kahak yang berkumpul serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan dan sebagai satu langkah pencegahan untuk melawan racun di dalam badan. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, "Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata', "inilah buahnya" (tiin), sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya". (HR Abu Darda; Suyuti).
Prof J. A Vinson dari Universiti Scranton, Amerika Syarikat telah membuat kajian dan membuktikan bahawa buah tiin mengandungi khasiat yang tinggi jika dibandingkan dengan buah- buahan yang lain. Buah tiin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi ia mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian oleh beliau mendapati bagaimana buah tiin mampu meningkat dan mengekalkan kesihatan tubuh badan manusia. Satu saiz hidangan buah tin (100g atau ¼ cawan) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita. Daripada jumlah tersebut, lebih 28% adalah jenis serat terlarut. Kajian menunjukkan bahawa serat terlarut boleh membantu mengawal gula di dalam darah dan mengurangkan kolestrol dalam darah dengan mengikatnya di dalam saluran pencernaan. Manakala serat tidak larut pula dapat melindungi dan mencegah daripada penyakit kanser usus besar (kolon). Makanan yang kaya dengan serat terlarut mampu mengurangkan berat badan. Oleh itu, buah tiin juga sesuai dalam mengatasi masalah berat badan berlebihan.
Buah tiin boleh dianggap sebagai buah yang seharusnya diambil oleh setiap orang termasuk juga kanak- kanak. Ianya merupakan snek yang terbaik sesuai untuk semua golongan kerana mengandungi serat yang tinggi dan manis secara semulajadi. Jadi, pengambilan buah tiin merupakan satu langkah yang tepat untuk menambahkan pengambilan serat dalam makanan seharian kita kerana terdapat bukti amali yang menunjukkan bahawa mereka yang mengambil serat yang sangat tinggi, didapati jarang menghidapi penyakit kanser dan jantung. Mungkin dalam keadaan dunia moden sekarang dan kesibukan yang dihadapi oleh setiap orang, agak sukar untuk kita mengelakkan daripada mengambil makanan yang berkalori tinggi, berkolestrol tinggi dan berlemak dalam makanan seharian kita. Namun, dengan adanya buah tiin, seharusnya khasiat yang terkandung di dalamnya tidak disia- siakan malah perlu dijadikan sebagai satu makanan alternatif untuk kita meningkatkan kesihatan.
Satu lagi keistimewaan yang terkandung di dalam buah tiin ialah ianya dipercayai mempunyai bahan yang boleh melawan kanser. Di dalam buah tiin mengandungi ‘polyphenols' yang tinggi yang bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan amat penting untuk tubuh badan kita kerana ia berfungsi menentang free radicals dalam badan yang boleh menyebabkan berlakunya kanser. Di dalam kajian yang telah dijalankan oleh J.A Vinson tersebut mendapati bahawa jumlah kandungan ‘polyphenol' dalam buah tiin adalah paling tinggi berbanding dengan buah- buahan dan sayur- sayuran lain. Di samping itu, buah tiin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan anti kanser iaitu ‘benzaldehyde' dan ‘coumarins'. ‘ Benzaldehyde' telah terbukti mampu bertindak sebagai bahan anti tumor manakala ‘ coumarins' adalah untuk merawat kulit dan kanser prostat. Mungkin sesetengah daripada kita tidak pernah pun mengetahui akan keistimewaan dan kebaikan yang terdapat dalam buah tiin, apatah lagi ianya terhad berada di pasaran tidak seperti buah- buahan lain. Namun, seharusnya ia tidak perlu dijadikan alasan kerana ia juga terdapat juga di pasaran Malaysia dan mampu diperolehi oleh sesiapa sahaja.



BUAH ZAITUN



        Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.


Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

sekian dari gue, jangan lupa komentarnya.... :D

Tidak ada komentar:

Posting Komentar